profil

13 Disember 2012

KE MAE HON SON SETELAH GAGAL KE KEMBOJA


Misi ke Kemboja kali ini ialah untuk bertemu dengan pihak Mufti Kemboja bagi menguruskan tanah wakaf di Cherok Remit, Kampung Chenang, Kemboja.


Pada 10 November 2012 , saya dan Us Rizal bertolak dari Sempadan Padang Besar pada pukul 11.30 pagi setelah selesai urusan di  sempadan Malaysia dan Thailand. Pada pukul 11.50 pagi , kami telah tiba di sebuah masjid berdekatan Ban Phru. Dari sini bermulanya perjalanan sebenar setelah berdoa memohon kehadrat ilahi supaya mempermudahkan segala urusan dan memelihara kami dalam perjalanan yang bakal ditempoh dari bahaya dan maksiat.
Pada pukul 12.30 tengahari, kami memulakan perjalanan.  Tiba di Prachuap Khiri Khan pada pukul 10.30 malam setelah menempuh perjalanan sejauh 753km dan bermalam di resort dengan bayaran sebanyak 500 Baht. 
Depan Resort


Pada pukul 8.00 pagi, 11 November 2012 , selepas sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Aranyaprathet. Bermula di Ratchaburi, kami mula menggunakan Garmin GPS untuk meredah kotaraya Bangkok. Setelah tiba di Samut Prakan, kami cukup berhati-hati menggunakan GPS supaya tidak tersasar ke kotaraya Bangkok dan tidak menuju ke Lebuhraya kerana motorsikal dilarang menggunakannya. Kerana terlalu bergantung kepada GPS, kami telah tersasar ke kotaraya Bangkok dan tersesat beberapa jam mencari jalan menuju ke Sa  Keo. Kebanyakan peta dan GPS akan menunjukan arah jalan melalui lebuhraya, walaupun telah beberapa kali meminta bantuan orang tempatan. Pada pukul 5.00 petang , kami telah berjaya keluar dari kota Bangkok dengan berpandukan GPS Aura dari sistem Android, menuju ke Nakhon Nayok. Dalam perjalanan dari Nakhon Nayok ke Sa Keo, sampai di suatu tempat jalanraya masih dalam proses baikpulih dalam keadaan sangat gelap, terasa jalan terlalu licin, tiba-tiba motorku berpusing-pusing dan tersungkur di atas jalan tanah merah yang basah serta licin.
 Tiada sebarang kerosakan yang berlaku. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di sebuah hotel di Sa keo pada pukul 10.00 malam  selepas berjalan sejauh 453km. Sepanjang perjalanan kami,  Us Rizal akan mengemaskini di FB peribadi dan kumpulan NVOG.




Pada jam 8.30 pagi, 12 November 2012, selepas sarapan, kami memulakan perjalanan ke Aranyaprathet yang terletak 45km dari Sa Keo. Pukul 9.15 pagi kami telah tiba di Aranyaprathet dan memasuki kawasan pasarnya yang sangat luas . 


Barangan di sini sangat murah dan menjadi pusat barangan terpakai seperti kasut  dan sebagainya. Di sini, kami sempat berkenalan seorang lelaki Kemboja yang berniaga pakaian terpakai di sini yang bernama Jusoh. 
Bersama Jusoh di depan kedainya
 Kami mengenali Jusoh di sebuah kedai makan muslim di sana, beliau memberitahu kami bahawa di kedai berkenaan terdapat juga pekerja wanita yang bukan muslim berpakaian tudung labuh. Di sini juga, kami bertemu seorang peniaga kasut terpakai  yang berasal dari Pattani sedang memborong kasut terpakai untuk dijual di Hat Yai. Sesiapa yang ingin membeli barangan dengan harga lebih murah, perlulah mengenali mana-mana peniaga di sini, beliau akan mebawa kita ke kedai rakannya untuk mendapatkan harga yang lebih murah. Pada hari itu, Jusoh telah membawa kami ke kedai beg rakanya dan Us Rizal telah membeli beg dengan harga yang lebih murah. Pada pukul 11.30 pagi, kami memulakan proses di sempadan untuk memasuki ke Kemboja. Di sini, kami telah menghadapi masalah kerana tidak memiliki borang imigresen Thailand untuk membawa kenderaan keluar dari Thailand. Sebelum ini, sebanyak dua kali saya memasuki Kemboja menggunakan kenderaan sendiri dengan mengisi borang berkenaan di sini.  Tetapi pegawai yang bertugas pada hari itu, nampaknya “bad mood” menghalang kami dari keluar dari Thailand. Katanya sepatutnya, kamu membawa borang berkenaan dari Padang Besar. Selepas kami memasuki Kemboja berjalan kaki dalam masa yang singkat. Saya berbincang dengan Us Rizal untuk mengubah haluan ke Mae Hon Son (1864 koner ).  Petang itu, selepas membeli belah di Aranyaprathet. Pada pukul 6.00 petang kami bertolak menuju ke Nakhon Nayok yang terletak sejauh  185km untuk bermalam di sana. Kami tiba di Nakhon Nayok pada pukul 10.00 malam.

Pada jam 8.30 pagi 13 November 2012, kami bergerak menuju ke  Tak yang teletak 452 km. Pada pukul 7.00 petang kami tiba ke sebuah hotel di Tak dengan bayaran sebanyak 500 Baht sahaja. Kami perlu berehat secukupnya di sini kerana besoknya akan menghadapi perjalanan yang lebih mencabar.

Di depan sebuah masjid sebelum Phayuha
Mereka berasal dari Mae Sot




Nasi lauk itik

Pada jam 8.00 pagi 14 November 2012, kami bertolak dari Tak menuju ke Mae Sot yang terletak 82 km dengan jalan yang berliku-liku. 
Depan Resort di Tak



Di Mae Sot

Pada pukul 11.00 pagi, kami meneruskan perjalanan dari Mae Sot ke Mae Sariang.  Setelah sampai ke Tha Song Yang  yang terletak 103km dari Mae Sot, terdapat di sini Kem Mae La (Meela) yang menempatkan pelarian dari Burma yang terletak bersempadanan dengan Burma(Myanmar) sejak tahun 1984. Pada tahun 1997 Kem Meela pernah menjadi sasaran serangan pihak sekutu dengan tentera Burma walaupun berada di wilayah Thailand dan terdapat beberapa percubaan membakarnya. Di sini terdapat sekitar 30,000 orang yang menetap di kem ini yang mempunyai keluasan seluas 4 km persegi sahaja.  Di sini, terdapat 200 buah rumah orang muslim yang masih kuat berpegang kepada Islam.

Perumahan di Kem Meela


Setelah tiba di depan Kem Meela, kami telah berkenalan  dengan seorang lelaki yang bernama Husin. Beliau bersetuju membawa kami melawat dalam kawasan kem tersebut  termasuk masjid, madrasah, kedai makan muslim  serta melihat komuniti dalam kem berkenaan.  Tiba di Madrasah, kami dapati seorang mufti muda lepasan Darul Uloom Deoband, India sedang mengajar kitab Hadis Sunan Sittah dan sebahagian pula sedang menghafaz al Quran dalam keadaan yang serba kekurangan. Keadaan rumah yang rapat antara satu dengan yang lain beratapkan daun-daun balak. Selepas menziarahi beberapa tempat, kami dibawa ke kedai makan muslim, di sini kami dapat menjamah nasi berlaukkan daging goreng, daging kari dan sayur yang sangat enak. 


Berkenalan dengan Husin
Pintu Utama ke Madrasah

Suasana dalam kem
  

Mufti mengajar Kitab Hadis Sunan Sittah

Di kedai makan

  Pada pukul 12.00 tengahari, kami mula bergerak meninggalkan kem berkenaan untuk meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan, kami sempat berkenalan dengan seorang  anggota tentera Thailand berasal dari Bangkok yang kebetulan sedang bercuti ke sana berseorangan bernama Chian. Beliau mengajak kami untuk bersama-sama melawat tempat-tempat pelancongan yang menarik. 

Bersama Chian




Pada pukul 4.00 petang, kami telah tiba di Mae Sariang setelah menempuh perjalanan berliku dengan pelbagai bentuk jalanraya sejauh 250km dari Mae Sot.  Di Mae Sariang, terdapat satu binaan muzium sebagai mercu dibina berbentuk kuil etnik Shan yang ramai terdapat di sana. Mae Sariang yang berasal daripada kampung kecil menjadi lebih menarik dan terkenal  kerana suasana santai di tepian sungainya. Di kawasan Utara Mae Sariang, terdapat taman negara seperti Salawin dan Mae Ngao. Chian mengajak kami untuk bermalam di Salawin yang terletak di sempadan Myanmar kerana di sana terdapat resort penginapan. 

Mercu yang terdapat di Mae Sariang




Pada pukul 5.15 petang, kami mula bertolak ke Salawin yang terletak sejauh 44 km dari Mae Sariang melalui jalan yang berliku-liku, bercerun, becak dan pelbagai cabaran yang cukup merbahaya. Kami tiba di Salawin pada pukul 8.30 malam dalam keadaan gelap gelita. Kami bermalam di resort dengan bayaran 300 Baht untuk satu bilik.
Sawah di tepian jalan Mae Sariang-Salaween
Suasana jalan ke Salaween


Di sebelah kanan bukit dan sebelah kiri cerun


Tergolek
Tempat letak kaki patah

Pintu masuk ke resort tepian Sungai Salaween

Besok paginya , kami dapat menikmati keindahan Sungai Salawin yang menjadi sempadan antara Thailand dan Myanmar.  Panjang Sungai Salawin ialah kira-kira 2815 kilometer yang mengalir dari Banjaran Tibet di Pergunungan Himalaya ke Laut Andaman yang merentasi negara China, Myanmar dan Thailand. Salaween merupakan salah satu sungai  yang mengalir bebas yang terpanjang di dunia setanding dengan Sungai Mekong .




Sungai Salaween menjadi sempadan Thailand-Myanmar
Sungai kecil mengalir ke Salaween

Perkampungan berhampiran Salaween
Pada pukul 8.30 pagi 15 November 2012, Kami bertolak dari Salaween menuju ke Mae Sariang untuk bersarapan. Selepas bersarapan nasi ayam di gerai makan muslim, kami telah menziarahi sebuah masjid di pekan Mae Sariang.

Pekena nasi ayam
Masjid Mae Sariang


Kami meneruskan perjalanan dari Mae Sariang ke Khun Yuam yang jaraknya 100km, dalam perjalanan sempat juga kami singgah sebentar disebuah kolam air panas. Pada pukul 12.00 tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Khun Yuam. 
Pada bulan November  hingga   Disember bukit-bukit berhampiran Khun Yuam bertukar menjadi warna kuning kerana bunga mata hari liar mula mekar. Keseluruhan kawasan ini dipenuhi  dengan bunga liar berwarna-warni.  Suasana di sini cukup tenang dan udara sejuk sangat menyegarkan  amat sesuai menjadi ladang sayuran dan buahan. 






Pada pukul 4.40 petang , kami meneruskan perjalanan ke Mae Hon Son yang terletak kira-kira 60 km dari Khun Yuam.
Pada pukul 6.30 petang, kami tiba di resort  berdekatan Mae Hon Son untuk bermalam dengan bayaran sebanyak 600 Baht sahaja.


Pada 16 November 2012, tepat jam 8.45, kami bertolak keluar dari resort mencari kedai makanan Muslim di Mae Hon Son.  Kami dibawa oleh Chian ke sebuah kedai makanan Muslim berhampiran sebuah masjid. Di sini, kami bertemu tiga orang rider yang berasal dari Johor yang kesemuanya adalah guru iaitu Osman, Zamri dan Sham. 
Sham
Zambri dan Osman

 En Sham memaklumkan bahawa beliau baru dua hari bersara wajib pada usia 56 tahun.  Selepas sarapan pagi, kami berenam bertolak ke Perkampungan Masyarakat Long Neck. Pada pukul 10.00 pagi, kami tiba diperkampungan berkenaan dan setiap pelancong dikenakan bayaran sebanyak 500 Baht. 

Pada pukul 11.00 pagi, kami bertiga bertolak menuju ke Pai yang terletak sejauh 191 km.  Dalam perjalanan kami telah singgah air terjun Pha Suea, Pang Tong Palace yang terletak sebuah  tasik di tanah tinggi iaitu Pa Ung Lake dan perkampungan Ban Rak Thai yang terletak 117 km dari Mae Hon Son berhampiran dengan sempadan Myanmar menjadi pusat agro yang sering menjadi tumpuan pelancong yang terkenal dengan teh. 





Ban Rak Thai


Ladang Strawberi
Penduduk perkampungan Ban Rak Thai terdiri dari orang bangsa Cina kebanyakannya dari tentera  Kuomintang(nasionalis)  yang berhijrah pada zaman peperangan di China melalui sungai Salaween. Di sini menjadi tempat penanaman dadah pada suatu masa dulu dan bertukar menjadi ladang penanaman teh dan sayuran. Penempatan mereka bermula selepas ketua Kuomintang membuat perjanjian kerjasama dengan kerajaan Thai   untuk menghapuskan komunis dan  memenuhi hasrat kerajaan Thailand untuk menghapuskan perdagangan dadah. Perkampungan ini dahulunya dikenali sebagai Mae Aw dan ditukarkan ke Ban Rak Thai selepas tamat peperangan pada tahun 1984.
Dalam perjalanan balik dari Ban Rak Thai, kami telah singgah di Phu Phu Mud yang terkenal sebagai tempat untuk mandian lumpur untuk kecantikan dan kesihatan. Lumpur ini adalah hasil daripada didihan lumpur secara natural dan tindakbalas air mineral yang tiada bau sulfur. Keunikannya, ialah hanya terdapat 3 tempat di dunia seperti ini iaitu di Laut Mati  Jordan, di Romania dan di Phu Sa (Mae Hon Son).
Menunaikan kewajipan

Pada pukul 8.30 malam, kami tiba di Pai dan menginap di resort dengan bayaran sebanyak 700 Baht iaitu kos penginapan tertinggi sepanjang perjalanan kami ke Thailand. Pai merupakan salah satu bandar yang terletak berdekatan dengan sempadan Myanmar.  Pada pukul 9.00 malam, kami bertiga keluar untuk membeli belah dan makan malam. Juadah kami pada malam itu di kedai makan Muslim berdekatan Masjid Jami’ ialah nasi goreng dan mee kuah. 







Pada 17 November 2012, jam 9.00 pagi, kami bertiga telah keluar dari resort untuk sarapan pagi. Destinasi pada hari ini ialah untuk ke Chiang Mai, seterusnya ke Tak untuk bermalam  yang jaraknya 403 km di samping singgah di beberapa tempat menarik.
Lebih kurang 30 minit perjalanan, kami tiba di Memorial  Bridge, Pai, Chiang Mai yang diperbuat daripada besi  pada 1942 ketika perang dunia kedua oleh Jepun untuk mengangkut senjata dan barangan ke Myanmar.


Pada pukul 11.30 pagi, kami telah tiba di Huai Nam Dang National Park yang merupakan taman negara terbesar di utara Thailand untuk menikmati  keindahan permandangan.  Panorama yang indah boleh dinikmati dari atas Doi Kiu Lom (1615 m dan Doi Chang (1962 m)  yang merupakan puncak tertinggi di taman ini. Doi Chiang Dao (2175 m) merupakan salah satu gunung tertinggi di Thailand dan sering di selaputi dengan awan.  





Pada pukul 1.30 tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Pong Dueat  geyser. Di sini , kita akan dapati pancutan air panas yang membuak-buak dan seolah-olah  berasap  berserta dengan  bunyi  yang menggerunkan. Suhu air di bahagian atas permukaan bumi ialah 90-99°c dan suhu air di bahagian bawah permukaan bumi ialah antara 170-203°c. 







Resort di sini

Air terjun yang panas

Pada pukul 3.00 petang, kami meneruskan perjalanan ke Chiang Mai dan seterusnya ke Tak untuk bermalam. Saya dan Us Rizal telah berpisah dengan Chian di Chiang Mai kerana beliau ingin bertemu rakannya dan bermalam di sana. Pada pukul 10.00 malam, kami tiba di Tak dan menginap di hotel dengan bayaran sebanyak 350 Baht.
Pada 18 November 2012, pukul 7.30 pagi , kami bertolak lebih awal dari Tak menuju ke Chumphon melalui Kanchanaburi yang jaraknya sejauh 1020 km. Kami tiba di Kanchanaburi pada pukul  2.45 petang, dan destinasi pertama kami ialah muzium landasan keretapi maut yang mengorbankan 42,000 jiwa penduduk Malaya pada masa itu. Agak pedih hati dan sedih melihat sorotan sejarah yang telah berlaku  tanpa berperikemanusiaan. Dahulu saya sering mendengar orang tua-tua bercerita, bagaimana pemuda-pemuda ditangkap oleh tentera Jepun untuk dijadikan  buruh paksaan membina landasan keretapi maut ke Burma. Perasaan ini telah mendorong untuk melihat kesan-kesannya yang masih terdapat di Kanchanburi. Selepas melawat muzium, kami bergerak untuk mencari makanan dan menukar duit sebab sudah kehabisan duit Baht Thai. 


Di Kanchanaburi, kami singgah di satu kedai makanan muslim dalam perjalanan, di sini kami bertemu dengan Pokwar Laemah usahawan getah dari Yala dan Us Idris imam besar Masjid Al Huda di Kota Bangkok lulusan  dari Morocco . Sambil makan nasi beriani ayam berkuahkan sup tomyam kambing, Us Idris penuh bersemangat memberi galakan supaya kami “menambah” di Bangkok demi menyebarkan dakwah Islam dan menyelamatkan muslimah di sana. Menurutnya juga, tempat pelancongan yang menjadi tumpuan utama orang Bangkok sekarang ialah di Phu tab berk, di Petchaburi berbanding di Pai. Selepas makan, Pokwar dan Us Idris telah membawa kami ke money changer, seterusnya ke tapak yang akan dibangunkan resort dan surau di atas sekeping tanah milik Persatuan Bekas Tentera Thailand yang diuruskannya sebagai timbalan pengerusi persatuan berkenaan. Pokwar menjelaskan bahawa beliau bersedia untuk menguruskan pelancong Malaysia yang bertandang ke Kanchanaburi  merangkumi tempat tinggal dan menyediakan kambing bakar dengan kos yang murah. Setelah itu, Pokwar membawa kami ke ladang semaian getah yang berada tidak berjauhan dari situ yang sedang dalam proses penyediaan benih sebanyak berjuta anak getah untuk dibekalkan kepada syarikat ladang-ladang getah di sana. 
Bersama Us Idris

Pokwar
Money changer di Kanchanaburi

Tempat yang akan dibangunkan Surau dan resort

Tanah milik Pokwar

Jalan ke ladang semaian getah milik Pokwar

Ladang semaian getah milik Pokwar
Pada pukul 8.00 malam, kami mengekori Pokwar yang menaiki sebuah pikup dengan ditemani oleh seorang sahabatnya menuju ke selatan Thai untuk bermalam di Chumphon.  Kami mengekori dibelakang dalam suasana gelap dan kadang-kadang ditimpa  hujan yang lebat. Akhirnya, pada pukul 4.00 pagi kami pun sampai di R&R berdekatan Chumphon. Selepas solat jamak Magrib dan Isyak, sempatlah kami melelap mata sambil menanti masuknya waktu solat Subuh.



Pada 19 November 2012, pada jam 8.30, selepas makan pagi bersama Pokwar , kami berdua bertolak ke selatan Thailand sedangkan Pokwar ingin kembali ke Kanchanaburi kerana ada masalah pekerja ladangnya yang perlu diselesaikannya. Destinasi seterusnya ialah ke Nakhon si Tamarat untuk mencari alat ganti motorsikal yang dikatakan pengedar Kawasaki berada di sana. Apabila sampai di Nakhon, kami dimaklumkan bahawa pengedar Kawasaki kawasan selatan Thailand berada di Surathani. Di Nakhon, motorsikal saya telah dibaikpulih di sebuah kedai motorsikal dengan layanan yang sangat baik tanpa dikenakan sebarang bayaran.


 Setelah itu, kami meneruskan perjalanan ke Songkhla untuk bermalam. Pada pukul 10.30 malam kami telah sampai ke hotel penginapan selepas berhenti solat Maghrib dan Isyak di sebuah masjid tepi laut di Nakhon, walaupun ada beberapa orang penduduk di situ menyarankan supaya kami bermalam di masjid berkenaan tetapi ditegah oleh seorang  jawatankuasa masjid berkenaan.

Pada 20 November 2012, pada pukul 9.00 pagi , selepas makan di sebuah kedai berdekatan, kami meneruskan perjalanan ke Hatyai untuk membeli belah di sana. Motorsikal diparkir di Masjid Pakistan dan kami berjalan kaki untuk membeli belah. 
Masjid Pakistan di Hat Yai

Di masjid berkenaan kami telah berkenalan dengan seorang lelaki yang berasal dari Yala yang menceritakan keadaannya yang sentiasa tertekan yang tidak boleh pulang ke kampung halamannya. Pada pukul 6.00 petang, kami bertolak ke Padang Besar dan sampai pada pukul 8.00 malam di masjid Padang Besar untuk solat jama Magrib dan Isyak serta minum wada’ di sebuah kedai kopi. Akhirnya kami sampai di sempadan Thailand-Malaysia pada pukul 9.30 malam. Di kaunter imigresen Malaysia, kami telah berkenalan dengan seorang anggota imigresen yang ingin menyertai  kelab NVOG. Akhirnya..Alhamdulillah kami telah  tiba di Malaysia pada pukul 10.00 malam dan menuju ke destinasi masing-masing selepas menjelajah melebihi 4800 km dalam tempoh 10 hari.

1 komen:

Tanpa Nama berkata...

mmg terbaik lah ustad.... jadikan semangat buat kami...tahniah.. (fendy)

Catat Ulasan