Misi ke Kemboja kali ini ialah untuk bertemu dengan pihak Mufti Kemboja bagi menguruskan tanah wakaf di Cherok Remit, Kampung Chenang, Kemboja.
Pada 10 November 2012 , saya dan Us Rizal bertolak
dari Sempadan Padang Besar pada pukul 11.30 pagi setelah selesai urusan di sempadan Malaysia dan Thailand. Pada pukul
11.50 pagi , kami telah tiba di sebuah masjid berdekatan Ban Phru. Dari sini
bermulanya perjalanan sebenar setelah berdoa memohon kehadrat ilahi supaya
mempermudahkan segala urusan dan memelihara kami dalam perjalanan yang bakal
ditempoh dari bahaya dan maksiat.
Pada pukul 12.30 tengahari, kami memulakan perjalanan. Tiba di Prachuap Khiri Khan pada pukul 10.30
malam setelah menempuh perjalanan sejauh 753km dan bermalam di resort dengan
bayaran sebanyak 500 Baht.
|
Depan Resort |
Pada pukul 8.00 pagi, 11 November 2012 , selepas
sarapan pagi, kami meneruskan perjalanan ke Aranyaprathet. Bermula di
Ratchaburi, kami mula menggunakan Garmin GPS untuk meredah kotaraya Bangkok.
Setelah tiba di Samut Prakan, kami cukup berhati-hati menggunakan GPS supaya
tidak tersasar ke kotaraya Bangkok dan tidak menuju ke Lebuhraya kerana
motorsikal dilarang menggunakannya. Kerana terlalu bergantung kepada GPS, kami
telah tersasar ke kotaraya Bangkok dan tersesat beberapa jam mencari
jalan menuju ke Sa Keo.
Kebanyakan peta dan GPS akan menunjukan arah jalan melalui lebuhraya, walaupun telah
beberapa kali meminta bantuan orang tempatan. Pada pukul 5.00 petang , kami
telah berjaya keluar dari kota Bangkok dengan berpandukan GPS Aura dari sistem Android,
menuju ke Nakhon Nayok. Dalam perjalanan dari Nakhon Nayok ke Sa Keo, sampai di
suatu tempat jalanraya masih dalam proses baikpulih dalam keadaan sangat gelap,
terasa jalan terlalu licin, tiba-tiba motorku berpusing-pusing dan tersungkur
di atas jalan tanah merah yang basah serta licin.
Tiada sebarang kerosakan yang
berlaku. Kami meneruskan perjalanan dan tiba di sebuah hotel di Sa keo pada
pukul 10.00 malam selepas berjalan
sejauh 453km. Sepanjang perjalanan kami,
Us Rizal akan mengemaskini di FB peribadi dan kumpulan NVOG.
Pada jam 8.30 pagi, 12 November 2012, selepas
sarapan, kami memulakan perjalanan ke Aranyaprathet yang terletak 45km dari Sa
Keo. Pukul 9.15 pagi kami telah tiba di Aranyaprathet dan memasuki kawasan
pasarnya yang sangat luas .
Barangan di sini sangat murah dan menjadi pusat
barangan terpakai seperti kasut dan sebagainya. Di sini, kami sempat berkenalan
seorang lelaki Kemboja yang berniaga pakaian terpakai di sini yang bernama
Jusoh.
|
Bersama Jusoh di depan kedainya |
Kami mengenali Jusoh di sebuah kedai makan muslim di sana, beliau
memberitahu kami bahawa di kedai berkenaan terdapat juga pekerja wanita yang
bukan muslim berpakaian tudung labuh. Di sini juga, kami bertemu seorang
peniaga kasut terpakai yang berasal dari
Pattani sedang memborong kasut terpakai untuk dijual di Hat Yai. Sesiapa yang
ingin membeli barangan dengan harga lebih murah, perlulah mengenali mana-mana
peniaga di sini, beliau akan mebawa kita ke kedai rakannya untuk mendapatkan
harga yang lebih murah. Pada hari itu, Jusoh telah membawa kami ke kedai beg
rakanya dan Us Rizal telah membeli beg dengan harga yang lebih murah. Pada pukul
11.30 pagi, kami memulakan proses di sempadan untuk memasuki ke Kemboja. Di
sini, kami telah menghadapi masalah kerana tidak memiliki borang imigresen
Thailand untuk membawa kenderaan keluar dari Thailand. Sebelum ini, sebanyak
dua kali saya memasuki Kemboja menggunakan kenderaan sendiri dengan mengisi
borang berkenaan di sini. Tetapi pegawai
yang bertugas pada hari itu, nampaknya “bad mood” menghalang kami dari keluar
dari Thailand. Katanya sepatutnya, kamu membawa borang berkenaan dari Padang
Besar. Selepas kami memasuki Kemboja berjalan kaki dalam masa yang singkat.
Saya berbincang dengan Us Rizal untuk mengubah haluan ke Mae Hon Son (1864
koner ). Petang itu, selepas membeli
belah di Aranyaprathet. Pada pukul 6.00 petang kami bertolak menuju ke Nakhon
Nayok yang terletak sejauh 185km untuk
bermalam di sana. Kami tiba di Nakhon Nayok pada pukul 10.00 malam.
Pada jam 8.30 pagi 13 November 2012, kami bergerak
menuju ke Tak yang teletak 452 km. Pada
pukul 7.00 petang kami tiba ke sebuah hotel di Tak dengan bayaran sebanyak 500 Baht
sahaja. Kami perlu berehat secukupnya di sini kerana besoknya akan menghadapi
perjalanan yang lebih mencabar.
|
Di depan sebuah masjid sebelum Phayuha |
|
Mereka berasal dari Mae Sot |
|
Nasi lauk itik |
Pada jam 8.00 pagi 14 November 2012, kami bertolak
dari Tak menuju ke Mae Sot yang terletak 82 km dengan jalan yang berliku-liku.
|
Depan Resort di Tak |
|
Di Mae Sot |
Pada pukul 11.00 pagi, kami meneruskan perjalanan dari Mae Sot ke Mae Sariang. Setelah sampai ke Tha Song Yang yang terletak 103km dari Mae Sot, terdapat di
sini Kem Mae La (Meela) yang menempatkan pelarian dari Burma yang terletak
bersempadanan dengan Burma(Myanmar) sejak tahun 1984. Pada tahun 1997 Kem Meela
pernah menjadi sasaran serangan pihak sekutu dengan tentera Burma walaupun
berada di wilayah Thailand dan terdapat beberapa percubaan membakarnya. Di sini
terdapat sekitar 30,000 orang yang menetap di kem ini yang mempunyai keluasan
seluas 4 km persegi sahaja. Di sini, terdapat
200 buah rumah orang muslim yang masih kuat berpegang kepada Islam.
|
Perumahan di Kem Meela |
|
|
|
Setelah tiba di depan Kem Meela, kami telah berkenalan dengan seorang lelaki yang bernama Husin.
Beliau bersetuju membawa kami melawat dalam kawasan kem tersebut termasuk masjid, madrasah, kedai makan
muslim serta melihat komuniti dalam kem
berkenaan. Tiba di Madrasah, kami dapati
seorang mufti muda lepasan Darul Uloom Deoband, India sedang mengajar kitab Hadis Sunan Sittah dan sebahagian pula
sedang menghafaz al Quran dalam keadaan yang serba kekurangan. Keadaan rumah
yang rapat antara satu dengan yang lain beratapkan daun-daun balak. Selepas
menziarahi beberapa tempat, kami dibawa ke kedai makan muslim, di sini kami
dapat menjamah nasi berlaukkan daging goreng, daging kari dan sayur yang sangat
enak.
|
Berkenalan dengan Husin |
|
Pintu Utama ke Madrasah |
|
Suasana dalam kem |
|
Mufti mengajar Kitab Hadis Sunan Sittah |
|
Di kedai makan |
Pada pukul 12.00
tengahari, kami mula bergerak meninggalkan kem berkenaan untuk meneruskan
perjalanan. Dalam perjalanan, kami sempat berkenalan dengan seorang anggota tentera
Thailand berasal dari Bangkok yang kebetulan sedang bercuti ke sana
berseorangan bernama Chian. Beliau mengajak kami untuk bersama-sama melawat
tempat-tempat pelancongan yang menarik.
|
Bersama Chian |
Pada pukul 4.00 petang, kami telah tiba di Mae Sariang
setelah menempuh perjalanan berliku dengan pelbagai bentuk jalanraya sejauh
250km dari Mae Sot. Di Mae Sariang, terdapat
satu binaan muzium sebagai mercu dibina berbentuk kuil etnik Shan yang ramai
terdapat di sana. Mae Sariang yang berasal daripada kampung kecil menjadi lebih menarik dan terkenal kerana suasana santai di tepian sungainya. Di kawasan Utara Mae Sariang,
terdapat taman negara
seperti Salawin dan
Mae Ngao. Chian mengajak kami untuk
bermalam di Salawin yang terletak di sempadan Myanmar kerana di sana terdapat
resort penginapan.
|
Mercu yang terdapat di Mae Sariang |
Pada
pukul 5.15 petang, kami mula bertolak ke Salawin yang terletak sejauh 44 km
dari Mae Sariang melalui jalan yang berliku-liku, bercerun, becak dan pelbagai
cabaran yang cukup merbahaya. Kami tiba di Salawin pada pukul 8.30 malam dalam
keadaan gelap gelita. Kami bermalam di resort dengan bayaran 300 Baht untuk
satu bilik.
|
Sawah di tepian jalan Mae Sariang-Salaween |
|
Suasana jalan ke Salaween |
|
Di sebelah kanan bukit dan sebelah kiri cerun |
|
Tergolek |
|
Tempat letak kaki patah |
|
Pintu masuk ke resort tepian Sungai Salaween |
Besok paginya , kami dapat menikmati keindahan Sungai Salawin yang
menjadi sempadan antara Thailand dan Myanmar.
Panjang Sungai
Salawin ialah kira-kira 2815 kilometer
yang mengalir dari Banjaran Tibet di Pergunungan Himalaya ke
Laut Andaman yang
merentasi negara China, Myanmar dan Thailand. Salaween
merupakan salah satu sungai yang mengalir
bebas yang terpanjang di dunia setanding dengan Sungai Mekong .
|
Sungai Salaween menjadi sempadan Thailand-Myanmar |
|
Sungai kecil mengalir ke Salaween |
|
Perkampungan berhampiran Salaween |
Pada
pukul 8.30 pagi 15 November 2012, Kami bertolak dari
Salaween menuju ke Mae Sariang untuk bersarapan. Selepas bersarapan nasi ayam
di gerai makan muslim, kami telah menziarahi sebuah masjid di pekan Mae Sariang.
|
Pekena nasi ayam |
|
Masjid Mae Sariang |
Kami meneruskan perjalanan dari Mae Sariang ke Khun Yuam yang jaraknya
100km, dalam perjalanan sempat juga kami singgah sebentar disebuah kolam air
panas. Pada pukul 12.00 tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Khun Yuam.
Pada
bulan November hingga Disember bukit-bukit berhampiran Khun Yuam bertukar
menjadi warna kuning kerana bunga mata hari liar mula mekar. Keseluruhan kawasan ini dipenuhi
dengan bunga liar berwarna-warni.
Suasana di sini cukup tenang dan udara
sejuk sangat menyegarkan amat sesuai
menjadi ladang sayuran dan buahan.
Pada pukul 4.40 petang , kami meneruskan
perjalanan ke Mae Hon Son yang terletak kira-kira 60 km dari Khun Yuam.
Pada pukul 6.30
petang, kami tiba di resort berdekatan
Mae Hon Son untuk bermalam dengan bayaran sebanyak 600 Baht sahaja.
Pada 16
November 2012, tepat jam 8.45, kami bertolak keluar dari resort mencari
kedai makanan Muslim di Mae Hon Son. Kami dibawa oleh Chian ke sebuah kedai makanan
Muslim berhampiran sebuah masjid. Di sini, kami bertemu tiga orang rider yang berasal dari Johor yang kesemuanya adalah guru iaitu Osman, Zamri dan
Sham.
|
Sham |
|
Zambri dan Osman |
En Sham memaklumkan bahawa beliau baru dua hari bersara wajib pada usia
56 tahun. Selepas sarapan pagi, kami
berenam bertolak ke Perkampungan Masyarakat Long Neck. Pada pukul 10.00 pagi,
kami tiba diperkampungan berkenaan dan setiap pelancong dikenakan bayaran
sebanyak 500 Baht.
Pada pukul 11.00
pagi, kami bertiga bertolak menuju ke Pai yang terletak sejauh 191 km. Dalam perjalanan kami telah singgah air terjun
Pha Suea, Pang Tong Palace yang terletak sebuah tasik di tanah tinggi iaitu Pa Ung Lake dan
perkampungan Ban Rak Thai yang terletak 117 km dari Mae Hon Son berhampiran
dengan sempadan Myanmar menjadi pusat agro yang sering menjadi tumpuan
pelancong yang terkenal dengan teh.
|
Ban Rak Thai |
|
Ladang Strawberi |
Penduduk
perkampungan Ban Rak Thai terdiri dari orang bangsa Cina kebanyakannya dari
tentera Kuomintang(nasionalis) yang berhijrah pada zaman peperangan di China
melalui sungai Salaween. Di sini menjadi tempat penanaman dadah pada suatu masa
dulu dan bertukar menjadi ladang penanaman teh dan sayuran. Penempatan mereka
bermula selepas ketua Kuomintang membuat perjanjian kerjasama dengan kerajaan
Thai untuk menghapuskan komunis
dan memenuhi hasrat kerajaan Thailand
untuk menghapuskan perdagangan dadah. Perkampungan ini dahulunya dikenali
sebagai Mae Aw dan ditukarkan ke Ban Rak Thai selepas tamat peperangan pada
tahun 1984.
Dalam perjalanan
balik dari Ban Rak Thai, kami telah singgah di Phu Phu Mud yang terkenal
sebagai tempat untuk mandian lumpur untuk kecantikan dan kesihatan. Lumpur ini
adalah hasil daripada didihan lumpur secara natural dan tindakbalas air mineral
yang tiada bau sulfur. Keunikannya, ialah hanya terdapat 3 tempat di dunia
seperti ini iaitu di Laut Mati Jordan, di
Romania dan di Phu Sa (Mae Hon Son).
|
Menunaikan kewajipan |
Pada pukul 8.30
malam, kami tiba di Pai dan menginap di resort dengan bayaran sebanyak 700 Baht
iaitu kos penginapan tertinggi sepanjang perjalanan kami ke Thailand. Pai
merupakan salah satu bandar yang terletak berdekatan dengan sempadan Myanmar. Pada pukul 9.00 malam, kami bertiga keluar
untuk membeli belah dan makan malam. Juadah kami pada malam itu di kedai makan
Muslim berdekatan Masjid Jami’ ialah nasi goreng dan mee kuah.
Pada 17
November 2012, jam 9.00 pagi, kami bertiga telah keluar dari resort untuk
sarapan pagi. Destinasi pada hari ini ialah untuk ke Chiang Mai, seterusnya ke
Tak untuk bermalam yang jaraknya 403 km
di samping singgah di beberapa tempat menarik.
Lebih kurang 30
minit perjalanan, kami tiba di Memorial
Bridge, Pai, Chiang Mai yang diperbuat daripada besi pada 1942 ketika perang dunia kedua oleh Jepun untuk mengangkut senjata
dan barangan ke Myanmar.
Pada
pukul 11.30 pagi, kami telah tiba di Huai Nam Dang National Park yang merupakan
taman negara terbesar di utara Thailand untuk menikmati keindahan permandangan. Panorama yang indah boleh dinikmati dari atas Doi Kiu Lom (1615 m dan Doi Chang (1962 m) yang merupakan puncak tertinggi di taman ini. Doi Chiang Dao (2175 m) merupakan salah
satu gunung tertinggi
di Thailand dan sering di
selaputi dengan awan.
Pada pukul 1.30
tengahari, kami meneruskan perjalanan ke Pong Dueat geyser. Di sini , kita akan dapati pancutan
air panas yang membuak-buak dan seolah-olah
berasap berserta dengan bunyi
yang menggerunkan. Suhu air di bahagian atas permukaan bumi ialah 90-99°c dan suhu air di bahagian bawah permukaan bumi ialah
antara 170-203°c.
|
Resort di sini |
|
Air terjun yang panas |
Pada pukul 3.00 petang, kami meneruskan perjalanan ke Chiang
Mai dan seterusnya ke Tak untuk bermalam. Saya dan Us Rizal telah berpisah
dengan Chian di Chiang Mai kerana beliau ingin bertemu rakannya dan bermalam di
sana. Pada pukul 10.00 malam, kami tiba di Tak dan menginap di hotel dengan
bayaran sebanyak 350 Baht.
Pada 18 November 2012,
pukul 7.30 pagi , kami bertolak lebih awal dari Tak menuju ke Chumphon melalui
Kanchanaburi yang jaraknya sejauh 1020 km. Kami tiba di Kanchanaburi pada pukul
2.45 petang, dan destinasi pertama kami
ialah muzium landasan keretapi maut yang mengorbankan 42,000 jiwa penduduk
Malaya pada masa itu. Agak pedih hati dan sedih melihat sorotan sejarah yang
telah berlaku tanpa berperikemanusiaan.
Dahulu saya sering mendengar orang tua-tua bercerita, bagaimana pemuda-pemuda
ditangkap oleh tentera Jepun untuk dijadikan buruh paksaan membina landasan keretapi maut
ke Burma. Perasaan ini telah mendorong untuk melihat kesan-kesannya yang masih
terdapat di Kanchanburi. Selepas melawat muzium, kami bergerak untuk mencari
makanan dan menukar duit sebab sudah kehabisan duit Baht Thai.
Di Kanchanaburi, kami singgah di
satu kedai makanan muslim dalam perjalanan, di sini kami bertemu dengan Pokwar
Laemah usahawan getah dari Yala dan Us Idris imam besar Masjid Al Huda di Kota
Bangkok lulusan dari Morocco . Sambil makan nasi beriani ayam berkuahkan sup tomyam kambing, Us Idris
penuh bersemangat memberi galakan supaya kami “menambah” di Bangkok demi menyebarkan
dakwah Islam dan menyelamatkan muslimah di sana. Menurutnya juga, tempat pelancongan yang menjadi tumpuan utama orang Bangkok sekarang ialah di Phu tab berk, di Petchaburi berbanding di Pai. Selepas makan, Pokwar dan Us
Idris telah membawa kami ke money changer, seterusnya ke tapak yang akan
dibangunkan resort dan surau di atas sekeping tanah milik Persatuan Bekas
Tentera Thailand yang diuruskannya sebagai timbalan pengerusi persatuan
berkenaan. Pokwar menjelaskan bahawa beliau bersedia untuk menguruskan
pelancong Malaysia yang bertandang ke Kanchanaburi merangkumi tempat tinggal dan menyediakan kambing
bakar dengan kos yang murah. Setelah itu, Pokwar membawa kami ke ladang semaian
getah yang berada tidak berjauhan dari situ yang sedang dalam proses penyediaan
benih sebanyak berjuta anak getah untuk dibekalkan kepada syarikat ladang-ladang
getah di sana.
|
Bersama Us Idris |
|
Pokwar |
|
Money changer di Kanchanaburi |
|
Tempat yang akan dibangunkan Surau dan resort |
|
Tanah milik Pokwar |
|
Jalan ke ladang semaian getah milik Pokwar |
|
Ladang semaian getah milik Pokwar |
Pada pukul 8.00 malam,
kami mengekori Pokwar yang menaiki sebuah pikup dengan ditemani oleh seorang
sahabatnya menuju ke selatan Thai untuk bermalam di Chumphon. Kami mengekori dibelakang dalam suasana gelap
dan kadang-kadang ditimpa hujan yang
lebat. Akhirnya, pada pukul 4.00 pagi kami pun sampai di R&R berdekatan
Chumphon. Selepas solat jamak Magrib dan Isyak, sempatlah kami melelap mata
sambil menanti masuknya waktu solat Subuh.
Pada 19 November 2012,
pada jam 8.30, selepas makan pagi bersama Pokwar , kami berdua bertolak ke
selatan Thailand sedangkan Pokwar ingin kembali ke Kanchanaburi kerana ada
masalah pekerja ladangnya yang perlu diselesaikannya. Destinasi seterusnya
ialah ke Nakhon si Tamarat untuk mencari alat ganti motorsikal yang dikatakan pengedar
Kawasaki berada di sana. Apabila sampai di Nakhon, kami dimaklumkan bahawa pengedar
Kawasaki kawasan selatan Thailand berada di Surathani. Di Nakhon, motorsikal
saya telah dibaikpulih di sebuah kedai motorsikal dengan layanan yang sangat
baik tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Setelah itu, kami meneruskan perjalanan
ke Songkhla untuk bermalam. Pada pukul 10.30 malam kami telah sampai ke hotel
penginapan selepas berhenti solat Maghrib dan Isyak di sebuah masjid tepi laut
di Nakhon, walaupun ada beberapa orang penduduk di situ menyarankan supaya kami
bermalam di masjid berkenaan tetapi ditegah oleh seorang jawatankuasa masjid berkenaan.
Pada 20 November 2012,
pada pukul 9.00 pagi , selepas makan di sebuah kedai berdekatan, kami
meneruskan perjalanan ke Hatyai untuk membeli belah di sana. Motorsikal
diparkir di Masjid Pakistan dan kami berjalan kaki untuk membeli belah.
|
Masjid Pakistan di Hat Yai |
Di
masjid berkenaan kami telah berkenalan dengan seorang lelaki yang berasal dari
Yala yang menceritakan keadaannya yang sentiasa tertekan yang tidak boleh
pulang ke kampung halamannya. Pada pukul 6.00 petang, kami bertolak ke Padang
Besar dan sampai pada pukul 8.00 malam di masjid Padang Besar untuk solat jama
Magrib dan Isyak serta minum wada’ di sebuah kedai kopi. Akhirnya kami sampai
di sempadan Thailand-Malaysia pada pukul 9.30 malam. Di kaunter imigresen
Malaysia, kami telah berkenalan dengan seorang anggota imigresen yang ingin
menyertai kelab NVOG.
Akhirnya..Alhamdulillah kami telah tiba
di Malaysia pada pukul 10.00 malam dan menuju ke destinasi masing-masing
selepas menjelajah melebihi 4800 km dalam tempoh 10 hari.
1 komen:
mmg terbaik lah ustad.... jadikan semangat buat kami...tahniah.. (fendy)
Catat Ulasan